[+] Kongsi Artikel di Facebook Anda

images 2 Melaka Ambil Berat Soal Pensijilan Halal

MELAKA 6 Feb. – Kerajaan negeri mengambil berat kepentingan halal dan sentiasa menyokong sepenuhnya usaha yang dilakukan Kerajaan Persekutuan berhubung pensijilan halal.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku badan yang bertanggungjawab dalam pengeluaran sijil pengesahan halal di peringkat persekutuan amat dihargai.

Menurut beliau, sebagai langkah pertama bagi menyokong usaha tersebut, kerajaan negeri telah menerima penyelarasan pensijilan halal dengan Jakim dan melaksanakan sistem E-Halal di Melaka mulai 13 Mei tahun lalu dan permohonan sijil pengesahan halal telah diproses secara online.

“Kerajaan negeri juga telah memutuskan bahawa mulai 1 Januari tahun ini, tiada lagi permohonan sijil pengesahan halal secara manual dan tidak ada lagi pengeluaran sijil pengesahan halal Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen 1Malaysia 1Halal di Dataran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Mashitah Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin.

Mohd. Ali berkata, sehubungan itu, semua sijil yang telah diluluskan oleh Panel Pengesahan Halal negeri akan mendapat sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim.

Katanya, sepanjang tahun lalu, JAIM telah menerima sejumlah 239 permohonan sijil pengesahan halal dan sehingga kini sejumlah 222 syarikat mempunyai sijil pengesahan halal yang diluluskan oleh Panel Pengesahan Halal negeri.

“Sijil-sijil ini masih dalam tempoh sah laku iaitu 176 bagi kategori produk, 36 premis makanan meliputi 22 buah hotel dan 10 bagi kategori premis sembelihan.

“Saya menyeru kepada semua usahawan di negeri ini agar memohon dan memperbaharui sijil pengesahan halal melalui Jakim atau JAIM bagi mendapat pensijilan halal Malaysia kerana mulai tahun ini hanya satu satu logo halal yang diiktiraf iaitu logo halal Malaysia,” katanya.

Mengenai kempen 1M1H, menurutnya, ia merupakan salah satu usaha bagi mempromosikan pensijilan halal Malaysia dan satu platform yang baik bagi pengusaha memperkenalkan produk-produk halal mereka kepada pengguna.

“Saya berharap semua pengusaha dan pengeluar produk halal tidak melihat konsep halal ini daripada sudut perniagaan sahaja.

“Perlu difahami halal ini adalah satu perkara yang sensitif dan dituntut dalam agama. Pensijilan halal bukan saja halal daripada sudut bahan ramuannya tetapi kaedah pengendaliannya juga amat penting bagi memastikan makanan atau produk yang dihasilkan adalah benar-benar halal, suci, selamat dan berkualiti,” katanya.

(Sumber:Utusan)


Sumber: Melaka Daily